Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KEMAMAN – Sebanyak sembilan tan makanan laut segar disediakan untuk jualan pada harga murah sepanjang program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) selama tiga hari sehingga esok.
Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk M. Saedon Ab. Majid berkata, kesemua makanan laut merangkumi ikan, sotong dan ketam tersebut dijual pada harga 20 hingga 50 peratus daripada harga pasaran.
“Ikan, sotong dan ketam tersebut di bawa secara segar dari laut yang dijual secara terus oleh Persatuan Nelayan Kawasan Besut.
“Sebanyak tiga tan makanan laut itu dijual kepada pengunjung pada setiap hari sepanjang penganjuran GNN bermula hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di tapak GNN di Pantai Kuala Kerteh dekat sini semalam.
M.Saedon berkata, antara makanan laut yang dijual tersebut ialah ikan jenahak pada harga RM23 sekilogram (kg), kerapu gred A (RM20/kg), sotong (RM20/kg), tenggiri (RM25/kg) dan merah (RM20/kg).
Menurut beliau, ikan selayang pula dijual pada harga RM4 bagi setiap kg, tamban (RM3/kg), aya (RM5/kg), cencaru (RM6/kg) dan kerisi (RM8/kg).
“Jualan ini bertujuan untuk membantu masyarakat setempat mendapatkan makanan laut segar pada harga jauh lebih daripada pasaran sekali gus membantu mengurangkan beban sara hidup mereka.
“Selain jualan makanan laut segar itu, pengunjung juga boleh mendapatkan produk ikan sejuk beku di bawah jenama Qfish di gerai pameran Nekmat (Persatuan Nelayan Kebangsaan),” katanya.
No comments:
Post a Comment