Translate

Thursday, October 26, 2017

Niat curi kayu gaharu di Taman Negara Terengganu tak kesampaian

HULU TERENGGANU – Tiga warga Kemboja ditahan penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana disyaki menceroboh Taman Negara Terengganu dekat sini baru-baru ini.

Ketiga-tiga lelaki yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 42 tahun itu dipercayai memasuki kawasan tersebut tanpa permit untuk mengambil kayu gaharu, memburu haiwan liar dan menangkap ikan secara haram.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Rahmah Ilias berkata, kesemua lelaki berkenaan telah ditahan oleh sepasukan anggota penguat kuasa Perhilitan yang sedang melakukan operasi Jaringan Operasi Penguatkuasaan Biodiversiti 1 Malaysia di Taman Negara Terengganu pada 18 Oktober lalu.

“Pasukan penguat kuasa telah terserempak dengan ketiga-tiga lelaki berkenaan ketika melakukan rondaan di kawasan tersebut. Ketika pemeriksaan, anggota menjumpai satu plastik berisi kayu gaharu, tiga beg mengandungi jaring ikan, empat beg berisi daging disyaki hidupan liar, tiga unit pencuci kayu gaharu, tiga bilah parang, satu jaring kabut dan tiga bilah kapak dipercayai milik mereka,” katanya semalam.

Rahmah berkata, kesemua suspek disiasat mengikut Kaedah 9(2) Kaedah-Kaedah Taman Negara (Terengganu) 1939, Kaedah 8(i)(a) dan Kaedah 8(i)(f) enakmen sama.

Menurut beliau, ia melibatkan kesalahan memasuki Taman Negara Terengganu tanpa permit sah, memiliki peralatan untuk mengambil kayu gaharu secara haram dan memotong pokok gaharu tanpa kebenaran.

Bagi setiap kesalahan, setiap suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM500 jika sabit kesalahan.

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Berang di sini semalam bagi tujuan pendakwaan.

No comments:

Post a Comment