Translate

Wednesday, October 4, 2017

Wanita larikan perabot rumah sewa ditahan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri perabot dan kelengkapan rumah sewa berjaya ditahan polis di Taman Perdana, Kubang Parit di sini semalam.

Serbuan yang dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sebuah rumah di taman perumahan berkenaan berjaya menahan suspek berusia 44 tahun pada pukul 9.30 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, wanita berkenaan dipercayai terlibat dalam kes melarikan perabot dan kelengkapan rumah yang disewanya di bandar raya ini pada Sabtu lalu.

“Siasatan awal mendapati modus operandi suspek ialah menyewa rumah yang dilengkapi perabot sebelum menghilangkan diri bersama kesemua barangan tersebut beberapa bulan kemudian.

“Semakan juga mendapati dia dikehendaki untuk membantu siasatan bagi 12 kes sama iaitu mencuri dalam bangunan dan menipu di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Melaka dan Johor,” katanya dalam satu kenya­taan di sini semalam.

Fazlisyam berkata, serbuan tersebut turut berjaya me­rampas sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam dan satu set kunci rumah di Taman Perdana berkenaan.

No comments:

Post a Comment