Translate

Tuesday, October 31, 2017

Pemerkasaan TVET mula nampak impak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT - Penekanan kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknokal dan Vokasional (TVET) sejak tahun 2013 mula menampakkan impak apabila 50 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini didapati telah memilih untuk menyambung pelajaran di politeknik di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan positif itu mampu merealisasi hasrat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja bermahiran tinggi dan separa mahir dalam kalangan warga asing pada masa hadapan.
Beliau berkata, lebih membanggakan 85 peratus daripada graduan lepasan politeknik pada masa ini memperolehi pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian masing-masing.
"Kerajaan memberi penekanan terhadap TVET dan saya berharap dengan adanya politeknik ke-34 dan ke-35 masing-masing di Besut dan Bagan Datuk (Perak) ini, kita dapat melahirkan lebih ramai pekerja bermahiran tinggi dan separa mahir untuk memenuhi keperluan negara.
"Oleh itu, kita dapat menghentikan pengambilan pekerja bermahiran tinggi dan separa mahir asing pada masa akan datang. Mungkin selepas ini, kita hanya mengambil pekerja asing bagi pekerjaan 3D (sukar, bahaya dan kotor)," katanya.
Beliau berkata demikian merasmikan majlis pecah tanah Politeknik Besut yang bakal menelan belanja RM167 juta di kawasan seluas 28 hektar di Bukit Keluang dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment