Translate

Monday, October 30, 2017

Universiti tubuh Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas, Kelainan Upaya




Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas dan Kelainan Upaya yang disasarkan untuk masyarakat Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang menjelang tahun 2019.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, penubuhan pusat bakal menjadikan universiti tersebut sebagai hub bagi wilayah berkenaan bagi menawarkan perkhidmatan perubatan, perlindungan, latihan dan pengajaran serta kebajikan bagi kanak-kanak berkeperluan khas dan ahli keluarga mereka.
Beliau berkata, pembangunan Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas dan Kelainan Upaya berkenaan sejajar dengan fungsi UniSZA sebagai universiti komuniti yang prihatin dengan permasalahan dan keperluan setempat.
"Hospital Pengajar UniSZA yang bakal siap sepenuhnya pada tahun 2019 bakal menyediakan pakar psikiatri dan perubatan kanak-kanak yang merupakan pra syarat bagi perkhidmatan kanak-kanak berkeperluan khas.
"Ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada kelestarian kehidupan kanak-kanak berkeperluan khas selaras dengan Akta Kanak-Kanak (Pindaan 2016) dan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Pindaan 2007)," katanya selepas menghadiri Simposium Kebangsaan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas di UniSZA di sini hari ini.
Turut hadir pada program yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, Roslee Daud. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment