Translate

Thursday, October 19, 2017

Pemandu lori dituduh langgar 
mati dua anggota polis

KEMAMAN – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua anggota polis trafik pada Khamis lalu.

Tertuduh, Ahmad Sufi Ismail bagaimanapun me­ngaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Sufi, 29, didakwa memandu secara berbahaya sehingga memasuki laluan bertentangan yang menyebabkan kemalangan maut membabitkan Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, dan Koperal Suresh Itchang, 36.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amanina Zulkefli manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan 14 November untuk sebutan kes.

Tertuduh membayar wang jaminan tersebut.

Kosmo! 13 Oktober lalu melaporkan dua anggota polis trafik maut selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 139, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kawasan Perindustrian Teluk Kalong.

No comments:

Post a Comment