Translate

Sunday, October 22, 2017

Dua polis trafik maut kemalangan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Dua anggota polis trafik termasuk seorang berketurunan Siam yang sedang berkonvoi dengan 23 anggota lain maut selepas dirempuh oleh sebuah lori di Kilometer 139, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kawasan Perindustrian Teluk Kalong dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.55 petang itu,  Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, dan Koperal Suresh Itchang, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said berkata, kedua-dua mangsa merupakan sebahagian daripada 25 anggota polis termasuk tujuh pegawai di Bahagian Siasatan dan Penyiasatan Trafik berkonvoi selepas menjalani latihan dalam perkhidmatan di Mersing, Johor ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori satu tan tanpa muatan dari laluan bertentangan tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan konvoi pasukan polis terbabit sebelum merempuh dua motosikal berkuasa tinggi yang masing-masing ditunggangi mangsa.

“Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua anggota polis trafik berkenaan terhumban sehingga mengalami kecederaan parah yang membawa kepada kematian mereka,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Said berkata, mayat Abdul Hakim dan Suresh Itchang telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat manakala pemandu lori terbabit akan ditahan reman bagi membantu siasatan.
Suresh meninggalkan seorang balu, Winney Suley Buan, 33, dan tiga orang anak manakala Abdul Hakim pula meninggalkan balu, Zarina Abdul Rahman, 31,  dengan tujuh anak termasuk empat anak dari perkahwinan terdahulu.

Winney ketika ditemui berkata, kali terakhir Suresh menghubunginya adalah kira-kira sejam sebelum kemalangan iaitu ketika konvoi tersebut berhenti makan tengah hari di Sungai Ular, Kuantan, Pahang pada pukul 1.54 petang.
“Dia beritahu tidak sabar untuk pulang ke rumah. Sepatutnya mereka pulang pada Jumaat namun latihan mereka ditamatkan awal bagi membuat persiapan menyambut Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang akan melakukan lawatan kerja ke Dungun pada Sabtu ini (esok),” katanya.

No comments:

Post a Comment