Translate

Friday, October 20, 2017

Tempoh 90 minit penting buat Selangor julang Piala Presiden

SKUAD Piala Presiden Selangor mahu menamatkan penantian menjulang piala tersebut buat kali pertama sejak tahun 2008 dalam tempoh 90 minit aksi final kedua menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pengendalinya, Omar Ali berkata, beliau telah mengingatkan para pemain untuk mempamerkan aksi bertenaga dan tidak sesekali membiarkan pasukan lawan memerangkap mereka sehingga mengheret perlawanan ke masa tambahan.

“Kami tidak mahu terlalu selesa biarpun membawa bekalan agak selesa dua jaringan tanpa balas pada aksi final pertama sebelum ini.
“Saya juga mengharapkan perlawanan ini ditamatkan dalam tempoh 90 minit,” katanya pada sidang akhbar perlawanan akhir kedua Piala Presiden di Pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Kuala Terengganu semalam.

Omar menegaskan, skuad bimbingannya tidak sesekali memandang mudah cabaran yang bakal diberikan Terengganu yang beraksi di laman sendiri dan berharap kesebelasan utama  dapat mempamerkan aksi terbaik.

“Harapan cukup tinggi ditaruhkan kepada para pemain untuk menamatkan penantian sembilan tahun muncul juara Piala Presiden esok (malam ini),” katanya.

Sementara itu, pengendali skuad Piala Presiden Terengganu, Mustafa Kamal Abdul Wahab berkata, anak-anak buahnya tidak akan menyerah kalah terlalu awal dan bakal menggunakan kesempatan baki 90 minit untuk melakukan kebangkitan menakjubkan.

Bekas pengendali sementara Terengganu musim lalu itu berkata, beliau yakin skuad kendaliannya berkemampuan untuk memadam defisit dua gol yang dimiliki Selangor.

“Kehadiran semula tonggak pasukan, Mohd. Ridzuan Mohd. Razali yang tidak beraksi pada final pertama kerana penggantu­ngan pasti akan menambah sengat jentera serangan pasukan.

“Kami sudah mempunyai strategi ampuh bagi memburu gol awal untuk mengatasi kelebihan dua gol yang dimiliki pasukan lawan. Saya juga mengharap­kan sokongan padu penyokong bagi menyuntik semangat para pemain mencipta kejutan,” katanya.

No comments:

Post a Comment