Translate

Tuesday, October 24, 2017

Pembantu tadbir HSNZ didakwa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang Pembantu Tadbir Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 16 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram melibatkan transaksi RM132,277.23.

Tertuduh, Noormazida Mukhtar, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.
Noormazida pada 20 September lalu dituduh bersama suaminya, Mohd. Fikri Izani, 26, atas enam pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM211,646 bagi tender pembekalan telur dan susu hospital yang sama.
Bagi pertuduhan pertama semalam, Noormazida didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang berjumlah RM30,000 yang merupakan hasil aktiviti haram dari akaun bank, JIE Excellent Enterprise ke akaun bank miliknya suaminya di Maybank Kuala Berang, Hulu Terengganu pada 29 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua hingga ke-16 pula, tertuduh didakwa menggunakan wang milik akaun bank syarikat sama melibatkan transaksi keseluruhan berjumlah RM102,277.23 di lokasi sama.
Perbuatan sebanyak 15 kali transaksi perbankan berkenaan didakwa dilakukan antara 4 Mac dan 6 Julai lalu.
Bagi setiap 16 pertuduhan berkenaan, Noormazida didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegah Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Kamarulzaman A. Wahab.
Mohammad Haldar membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM40,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan kes. Dia gagal membayar wang jaminan dan ditahan di dalam lokap di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

No comments:

Post a Comment