Translate

Wednesday, October 4, 2017

Dua suspek kes curi perabot rumah sewa direman empat hari

KUALA TERENGGANU - Dua suspek yang dipercayai pasangan kekasih ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes mencuri perabot dan kelengkapan rumah sewa di bandar raya ini pada Sabtu lalu.
Perintah reman terhadap wanita berusia 44 tahun dan teman lelakinya yang berumur dalam lingkungan 30-an dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Roszita Md. Saad di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda.
Kosmo! semalam melaporkan suspek pertama iaitu seorang wanita ditahan dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Perdana, Kubang Parit di sini pada pukul 9.30 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, siasatan awal mendapati modus operandi suspek ialah menyewa rumah yang dilengkapi perabot sebelum menghilangkan diri bersama kesemua barangan tersebut beberapa bulan kemudian.
"Semakan juga mendapati wanita berkenaan juga dikehendaki bagi 12 kes sama iaitu mencuri dalam bangunan dan menipu di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Melaka dan Johor," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment