Translate

Thursday, October 26, 2017

Ibu muda dapat pencen penakat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Insiden dahan pokok jenis Tunjuk Langit patah lalu menghempap sebuah van Kia Pregio dua minggu lalu yang menyebabkan dua mangsa di Mengabang Lekar di sini maut benar-benar memberi kesan mendalam ke atas seorang ibu muda, Razleen Awang, 34.

Suri rumah tersebut yang merupakan ibu kepada dua anak kecil iaitu Muhammad Amzar Irfad, 2, dan Muhammad Haniq Ifwat berusia sembilan bulan hilang tempat bergantung selepas kehilangan suami, Mohd. Amin Ibrahim, 36, yang merupakan pemandu van malang tersebut.

“Saya dan anak-anak kembali semula ke kuarters Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit baru-baru ini selepas pulang sebentar menenangkan fikiran ke kampung di Pasir Puteh, Kelantan selepas kematian suami.

“Begitupun, saya sedar lambat laun saya perlu meninggalkan kuarters ini. Saya perlu mencari ikhtiar untuk mencari tempat tinggal baharu dan sumber pendapatan untuk menyara kedua-dua anak saya yang masih kecil,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau menerima cek faedah pengurusan mayat dan faedah pencen penakat bulanan daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Nora Yaacob di SBPI Batu Rakit di sini semalam.

Pada majlis sama, Zaharah Endut, 42, iaitu ibu kepada Muhammad Zulfahmi Abd. Halim, 17, yang turut terkorban dalam insiden dahan patah itu turut menerima cek Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia berjumlah RM5,500.

Cek skim takaful itu disampaikan Pengurus Perniagaan Takaful Malaysia Terengganu, Zainan Kassim.

Turut hadir Pengetua SBPI Batu Rakit, Hamidah Hussin.

Razleen berkata, penerimaan faedah pengurusan mayat dan faedah pencen penakat bulanan yang masing-masing berjumlah RM2,000 dan RM1,160 itu amat besar nilainya kepada mereka tiga beranak.

“Saya yang merupakan suri rumah sebenarnya kurang arif tentang tuntutan itu dan bersyukur apabila dimaklumkan saya layak menerima skim faedah daripada Skuad Prihatin Perkeso Terengganu,” katanya.

Kosmo! Ahad 8 Oktober lalu melaporkan, selain mengorbankan Mohd. Amin dan Muhammad, seorang lagi pelajar SBPI Batu Rakit, Muhammad Zul Afkar Fauzi bersama dua wanita yang menaiki sebuah kereta Pe­rodua Kancil turut cedera dihempap dahan pokok yang dipercayai berusia lebih 30 tahun.

No comments:

Post a Comment