Translate

Thursday, October 5, 2017

Pembantu Tadbir HSNZ didakwa terlibat aktiviti pengubahan wang haram

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang Pembantu Tadbir Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menghadapi enam pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi tender pembekalan telur dan susu hospital itu bersama suaminya dua minggu lalu sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram melibatkan transaksi RM132,277.23.
Noormazida Mukhtar, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Noormazida didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang berjumlah RM30,000 yang merupakan hasil aktiviti haram dari akaun bank, JIE Excellent Enterprise ke akaun bank miliknya suaminya, Mohd. Fikri Izani, 26, di Maybank Kuala Berang, Hulu Terengganu pada 29 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua hingga ke-16 pula, tertuduh didakwa menggunakan wang dari akaun bank sama melibatkan transaksi keseluruhan berjumlah RM92,277.23 di lokasi sama dari 4 Mac hingga 6 Julai lalu.
Bagi setiap 16 pertuduhan berkenaan, Noormazida didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegah Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment