Translate

Monday, June 17, 2019

Pramugara pecah masuk dobi

KUALA TERENGGANU – Seorang pramugara sebuah syarikat penerbangan dan teman wanitanya ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes pecah masuk sebuah kedai dobi layan diri di Gong Badak, Kuala Nerus baru-baru ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Roszita Md. Saad di sini semalam.

Terdahulu, kedua-dua suspek berusia 39 dan 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 1.35 petang kelmarin.

Mereka ditahan selepas disyaki terlibat dalam jenayah pecah masuk sebuah kedai dobi layan diri 24 jam di Gong Badak, Kuala Nerus pada pukul 7.29 pagi pada Jumaat lalu.

Kejadian yang menyebabkan kerugian kira-kira RM30,000 itu hanya disedari pemiliknya yang merupakan seorang wanita bergelar Datin Seri apabila dimaklumkan salah seorang pelanggannya.

Pelanggan tersebut dikatakan terlihat kesan berlubang pada dinding berhampiran sebuah mesin basuh automatik di kedai dobi layan diri terbabit ketika berada di premis berkenaan.

Pemeriksaan lanjut kemudian menemui kesan umpil pada me­sin menukar token selain wang tunai dianggarkan RM1,000 di dalamnya turut lesap disyaki dilarikan kedua-dua suspek.

Sumber berkata, pemilik dobi mendakwa kerugian kira-kira RM30,000 ekoran kerosakan mesin token, modem internet televisyen litar tertutup (CCTV) hilang selain kerosakan pada dinding.

“Semakan pada CCTV mendapati suspek memecah masuk premis berkenaan antara pukul 5.30 pagi hingga 7.20 pagi pada Jumaat lalu.

“Bertindak atas laporan yang dibuat, polis telah menahan kedua-dua suspek di sebuah rumah di Damansara Perdana,” katanya.

Difahamkan, suspek lelaki memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan pada Mei lalu dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala teman wanitanya memiliki satu rekod jenayah mengikut Seksyen 6(1) ADB 1952.

No comments:

Post a Comment