Translate

Saturday, February 28, 2026

Exco Terengganu ditahan SPRM

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu ditahan bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dengan mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini. 

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, lelaki berusia 60-an itu ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di pejabat agensi tersebut di Kemaman pada pukul 11.15 pagi semalam. 

“Siasatan awal mengesyaki beliau menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai Exco kerajaan negeri dan pengerusi lembaga pengarah sebuah GLC untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua buah anak syarikat kerajaan negeri. 

“Perbuatan itu didakwa dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu ini pada tahun 2018 dan 2020,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. 

Katanya, exco terbabit dijangka dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Tetap cuba nasib biar tahu modal lebur

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI

KUALA NERUS – Nilai muntah paus atau ambergris yang mencecah RM645,000 sekilogram membuatkan ramai orang bercita-cita menjadi jutawan jika terjumpa objek berharga itu di tepi pantai terutama pada musim tengkujuh di Pantai Timur. 

Keadaan itu menyebabkan ramai berangan-angan mendapat wang besar apabila menemui objek yang menyerupai fizikal muntah paus sebenar ditambah pula selepas melakukan ujian sendiri seperti tidak tenggelam di laut, berbau seperti lilin dan mencair jika terkena jarum dipanaskan. 

Ambergris yang dihasilkan paus sperma digunakan dalam industri minyak wangi untuk membuatkan bertahan lebih lama dan penyedap perisa dalam kopi serta telur. 

Bagi mengukuh dakwaan, mereka tidak kisah mengeluar modal antara RM550 hingga RM800 untuk melakukan ujian makmal setiap sampel bagi mendapatkan sijil pengesahan ambergris supaya mudah dijual kepada pihak berminat. 

Bagaimanapun, impian menjadi jutawan segera itu sehingga kini masih gagal apabila ujian mengesahkan tiada satu pun objek itu disahkan muntah paus sebaliknya hanya sisa lilin, minyak masak beku atau pelbagai bahan maritim lain.

Mendedahkan perkara itu, Pensyarah Kanan Program Geosains Marin UMT, Prof. Madya Dr. Hazrizal Shaari berkata, mereka menerima lebih 300 sampel muntah ikan paus dihantar penduduk tempatan, Indonesia dan Thailand sejak hampir lima tahun lalu. 

Katanya, mereka merupakan satu-satunya institusi yang mempunyai Makmal Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (CRAF) untuk pengesahan ambergris di Asia Tenggara. 

“Ia menunjukkan betapa orang ramai teruja untuk mendapatkan wang besar dengan menghantar sampel seakan muntah paus kepada kami untuk diuji.

 “Kami tidak putus-putus menerima penghantaran sampel untuk dianalisa terutama sepanjang tempoh Monsun Timur Laut dari Oktober hingga Mac setiap tahun,” katanya kepada Kosmo! Ahad. 

Menurut Hazrizal, ia berlaku kerana banyak objek yang hanyut di perairan negara, Indonesia dan Thailand disebabkan ombak besar. 

Tambahnya, setakat ini, tiada satu pun sampel yang dihantar itu disahkan sebagai ambergris sebaliknya hanyalah sisa lilin, minyak masak beku atau pelbagai bahan maritim lain selepas melalui ujian analisis kimia, struktur dan thermal.

 “Ambergris tulen mengandungi profil kimia spesifik dengan kehadiran unsur ambrein yang hanya boleh dihasilkan dalam sistem pencernaan paus sperma.

 “Oleh kerana terlalu banyak sampel dihantar, kami boleh tahu setiap barang itu tulen atau sebaliknya. Selalunya kami berterus terang supaya tidak beri harapan palsu tetapi mereka tetap mahu  mencuba nasib biarpun modal akan lebur,” katanya.   

Hazrizal berkata, selain daripada individu mengaku menjumpai sendiri objek disangka muntah paus terbabit, banyak juga sampel diserahkan ejen atau orang tengah yang berhasrat untuk menjual ambergris kepada pihak tertentu. 

Katanya, adalah mustahil ambergris ditemui di Asia Tenggara kerana perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan bukan habitat paus yang memerlukan laut lebih dalam.

 “Paus sperma atau Physeter macrocephalus tidak boleh hidup di perairan cetek. Perairan itu melingkari Semenanjung Malaysia, Kepulauan Borneo, Singapura dan sebahagian kepulauan Indonesia cetek kerana terbentuk daripada benua kuno, Pentas Sunda,” katanya. 

Menurut Hazrizal, kedalaman kedua-dua perairan tersebut cuma 100 meter sekali gus tidak sesuai sebagai habitat paus sperma yang hidup di kedalaman ribuan meter.

 “Makanan paus sperma ialah sotong gergasi yang hidup di laut dalam. Laluan biologi dan migrasi paus sperma yang menghasilkan ambergis juga jauh dari perairan negara iaitu di Lautan Hindi dan Pasifik,” katanya. 

Tambahnya, ramai terpengaruh dengan kisah tular tentang nilai tinggi muntah paus sehingga mencecah jutaan ringgit tetapi realiti saintifiknya jauh lebih kompleks.

 “Sebaiknya orang awam tidak sewenang-wenang menyentuh atau menyimpan objek dijumpai berkenaan kerana dikhuatiri sebenarnya cuma sisa industri laut tercemar,” katanya.

Program Kitar Semula SK Padang Kubu

 

SEBAHAGIAN daripada 300 murid Sekolah Kebangsaan Padang Kubu yang berjaya mengutip 153 kilogram barangan kitar semula bergambar pada Program Kesedaran Kitar Semula anjuran Kumpulan TDM Berhad di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Tergamak jual nasi basi, kuih berbau

 

Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI, ISKANDAR SHAH MOHAMED, MOHD AZLI ADLAN dan DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

PETALING JAYA – Pengunjung bazar Ramadan meluahkan rasa kecewa terhadap kualiti makanan yang dijual di tempat jualan pada bulan mulia itu.

Mereka mendakwa ada makanan yang dibeli telah basi, berulat dan tidak menepati cita rasa selain dijual dengan harga mahal.

Bazar Ramadan sentiasa menjadi tumpuhan ratusan ribu umat Islam yang menjadikan lokasi berkenaan tempat mendapatkan makanan untuk berbuka.

Populariti bazar Ramadan men­dorong ramai peniaga untuk memulakan perniagaan kerana keuntungan yang besar.

Lebih mengejutkan apabila ‘pengkhianatan’ terhadap pembeli itu dikesan se­awal hari kedua Ramadan hingga menyebabkan pengguna tidak dapat menikmati makanan kegemaran dan terpaksa membuangnya ke dalam tong sampah.

injauan di media sosial mendapati, ramai yang meluahkan Tinjauan di media sosial mendapati, ramai yang meluahkan berdepan masalah sama apabila terbeli makanan yang cantik di luar, namun buruk di dalam se­perti mentah, tawar tiada rasa, berbau masam seolah-olah makanan lama, isi kurang tidak setanding harga dan sebagainya.

Keadaan itu seakan mengiyakan kemungkinan ada dalam kalangan peniaga itu baru pertama kali berniaga dan tidak pernah menyelidik juadah mereka sebelum menjualnya.

Pengguna Thread, Zaimah Taib kesal apabila kuih popia sira dibeli di Bandar Baru Bangi berintikan kentang goreng dan bukannya  sayur seperti kebiasaan.

“Hari pertama makanan bazar Ramadan, siapa dah kena scam? Contoh, popia sira inti kentang goreng. Sedih, dah lah suka popia sira, alih-alih dapat kentang goreng. Saya sendiri beli, sendiri makan, dah habis dah masuk perut. Mujur sira dan kulit popia sedap. Sayang inti letak kentang goreng,” katanya.

Natasyaazaini pula mendakwa, dia membeli menu  roti john  daging, namun tiada daging di dalam makanan tersebut.

Barangan runcit

“Roti john daging, tapi dapat roti john tak ada daging. Ada te­lur dengan sayur sahaja,” katanya yang memaklumkan lokasi bazar tersebut di Bangi.

Nurulaqeella berkongsi video mengenai martabak dibeli di sebuah bazar Ramadan di Selayang yang didakwa berbau masam, berminyak selain ada bahagian masih mentah.

Shareeeeeeesaf berkongsi cucur udang dibelinya di bazar Ramadan di Kelana Jaya juga tidak masak.

Sementara Syahiraaroslan berkongsi gambar roti john ayam mini dibeli di bazar Ramadan di Johor Bahru yang hanya mempunyai ayam bersaiz sangat kecil di dalamnya.

Matunhazel Mhz memaklumkan, dia membeli ayam rangka di satu bazar Ramadan, namun telah berbau masam seolah-olah makanan itu sudah lama.

Di Melaka, Mohd. Fairuz Salehan, 41, memberitahu, dia terbeli tau fu fa yang telah basi ketika berada di kampung isterinya di Jengka, Pahang kelmarin.

“Nasib baik saya rasa dulu, kalau tidak tentu anak lelaki saya yang gemarkan makanan itu sa­kit perut,” katanya.

Pekerja swasta, Norhaizun, 28, memberitahu, anaknya tidak habis makan laksa berharga RM8 yang dibeli di sebuah bazar Melaka Tengah.

“Rasa kuah macam tak cukup bahan. Peniaga seperti tidak mahir,” katanya.

Di Shah Alam, pelanggan kecewa apabila terbeli makanan berkuah atau berlauk dan kuih-muih seperti nasi kerabu, popiah, laksa serta bubur lambuk yang basi dan berbau.
Iffan Hamdan, 37, berkata, bubur lambuk dan popiah dibeli di sebuah bazar Ramadan berbau dan basi menjelang berbuka.

“Popiah sukar dikunyah sekali gus membantutkan niat kami untuk berbuka,” katanya.

Nur Syafura Mohamad, 43, berkata, dia terbeli nasi kerabu dan laksa basi.

“Bila nak panaskan kuah ia berbuih dan berbau. Nasi ke­rabu juga sama dan dua juadah itu terpaksa dibuang,” katanya.

Di Kuala Terengganu, Nor­haslina Musa, 43, kecewa kuih onde-onde yang dibeli basi dan berbau ketika hendak berbuka.

“Tak sangka sudah basi. Nasib baik anak bongsu saya yang berusia lima tahun tidak sempat memakannya,” katanya.

Norhaslina pula berkata, walaupun sudah berharga RM2.50 sebungkus, dia tetap terkilan sikap segelintir peniaga bazar Ramadan yang masih acuh tidak acuh dalam penyediaan makanan jualan.

MB minta saya teruskan tugas Exco Terengganu – Hanafiah Mat

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat akan meneruskan tugasnya sebagai Exco kerajaan negeri biarpun berhadapan dua pertuduhan salah guna kuasa di mahkamah hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu berkata, ia selaras dengan arahan Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar.

“MB (Ahmad Samsuri) sudah keluar arahan untuk saya meneruskan tugas-tugas (sebagai Exco kerajaan negeri Terengganu) seperti biasa.

“Insya-Allah saya akan jalankan tugas tanpa terganggu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu beliau dihadapkan atas dua pertuduhan menyalah guna kuasa sebagai Exco kerajaan negeri Terengganu dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn. Bhd. (PBKSB) untuk dua anak lelakinya.

Dalam perkembangan sama, Hanafiah berkata, pertuduhan di mahkamah tersebut memberi peluang terbaik buatnya untuk membersihkan nama.

Sehubungan itu, beliau berharap kesnya dapat diadili dengan sebaik-baiknya di mahkamah.

“Saya hendak mengajak pengamal media hadir semasa pembicaraan (kes) untuk mendengar (keterangan) saksi-saksi dari sebelah sana (pihak pendakwaan),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pemandu Honda layak dibicarakan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Mahkamah Majistret di sini semalam memutuskan prosiding kes seorang suri rumah yang dituduh membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam satu kemalangan pada 9 Oktober lalu boleh diteruskan bagi perbicaraan.

Majistret Nur Amira Fatihah Osman memberitahu mahkamah tertuduh, Norizan Ismail, 49, layak dibicarakan berdasarkan laporan psikiatri yang diterima dari Hospital Permai, Johor Bahru.

Beliau juga memutuskan sebutan semula bagi pengurusan kes tersebut berjalan pada 20 Februari depan.

Berdasarkan tiga pertuduhan, Norizan didakwa menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang ketika itu memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V di Jalan Pantai berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini pada pukul 7.30 malam, 9 Oktober lalu.

Norizan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hukuman mati atau penjara antara 30 tahun dan 40 tahun serta hukuman minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini Norizan telah dihantar ke Hospital Permai bagi pemeriksaan psikiatri selama tiga bulan sejak 15 Oktober lalu.

Kosmo! 11 Oktober lalu melaporkan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas dua motosikal dinaiki mereka dirempuh kenderaan Honda HR-V dipandu Norizan.

Kejadian menyayat hati pada pukul 7.20 malam itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke kampus selepas makan malam di sebuah gerai yang tidak jauh dari kampus UiTM Dungun.

Mangsa yang parah dalam kejadian itu ialah Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20.

Khairil Anwar, Ku Adib Aizam dan Muhammad Ammar Danish merupakan pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Perakaunan manakala Muhammad Akmal pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan.