Translate

Sunday, December 12, 2021

Tiada pasangan Terengganu terlibat dengan sindiket nikah Lebai Loh

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tiada pasangan di Terengganu dikesan terjebak dengan sindiket nikah tanpa tauliah di Thailand yang didalangi oleh Lebai Loh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah berkata, pemeriksaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) mengesahkan kegiatan sindiket yang berpengkalan di negeri jiran, Kelantan itu tidak merebak di negeri ini.

“Sebaik pembongkaran sindiket nikah tanpa tauliah didalangi Lebai Loh dibongkar (oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan), saya telah mengarahkan semua pegawai agama setiap daerah di negeri ini untuk melakukan siasatan.

“Sebenarnya tiada keperluan untuk bernikah di Thailand kerana prosedur perkahwinan sama ada bujang dan poligami di Terengganu antara termudah di negara ini selain Perlis,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mohd. Nor berkata, pasangan bujang berkelayakan di negeri ini boleh menikmati perkahwinan secara percuma yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri Terengganu menerusi program Walimatulurus Perdana.

Tambah beliau, prosedur poligami juga dipermudahkan dengan pegawai syariah akan ditugaskan sebagai pemudah cara antara pemohon, keluarga dan bakal isteri.

Kosmo! kelmarin melaporkan seorang bekas imam mengaut keuntungan lumayan sejak sekian lama dengan menjadi dalang sindiket nikah tanpa tauliah di Thailand dengan mengenakan bayaran RM2,000 hingga RM3,000 kepada setiap pasangan.

Tembelang warga emas dikenali sebagai Lebai Loh itu terbongkar selepas ditahan penguat kuasa Jaheaik di Kuala Krai, Kelantan pada 28 Oktober lalu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment