Translate

Monday, December 20, 2021

Banjir : Hindari kawasan sungai dan pantai

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Orang ramai disaran agar menghindari kawasan pantai dan sungai di seluruh Terengganu ekoran cuaca tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, walaupun keadaan banjir tidak seburuk di negeri-negeri lain terutama Lembah Klang, air sungai dan laut di Terengganu pada ketika ini tetap berada pada paras tinggi.

“Baru-baru ini (kelmarin), seorang remaja lelaki mati lemas ketika memancing di sungai di Marang selain banyak juga kejadian pokok tumbang (dipukul angin kuat) berlaku di Pantai Batu Burok di sini.

“Walaupun cuaca tidak hujan dan kita mungkin biasa dengan kawasan tersebut, sebolehnya elakkan. Arus sungai deras dan ombak kuat berlaku di pantai pada masa ini,” katanya ketika ditemui di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis Tamat Latihan Kor Sukarelawan Siswa Siswi (Suksis) melibatkan 328 pelajar UMT, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.

Dalam pada itu, Rohaimi berkata, seramai 997 anggota polis negeri ini bersiap sedia termasuk membekukan cuti bagi menghadapi kemungkinan banjir lebih besar.

Beliau berkata, ahli Kor Suksis yang terdiri daripada pelajar universiti bakal digerakkan untuk melakukan operasi pasca banjir untuk membantu mangsa terkesan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment