Translate

Tuesday, December 14, 2021

Hubungan Pas, UMNO masih baik


Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pas menegaskan gagasan Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai parti tersebut dan UMNO masih utuh dan tidak akan terkubur pada masa terdekat.


Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, hubungan parti itu dan UMNO secara umumnya masih berlangsung dengan baik.

“InsyaAllah (MN) boleh diselamatkan, masih lagi hidup dan tidak dikuburkan.

“Kerjasama politik masih berlangsung termasuk mempertahankan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan Persekutuan,” katanya selepas merasmikan sambutan ulang tahun Pas ke-70 di sini hari ini.

Sebelum ini, MN seakan-akan menuju keretakan ekoran segelintir kepimpinan kedua-dua parti tersebut dilihat sering mengeluarkan kenyataan saling menyalahkan antara sama lain.

Dalam pada itu, Abdul Hadi juga menafikan hubungannya dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamid agak dingin sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya, beliau memberitahu kerap bertemu dengan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh di Dewan Rakyat.

“Kita sentiasa berhubung dan akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment