Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Penduduk Terengganu khususnya yang menetap berhampiran kawasan pesisir pantai diminta agar bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir pada masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, risiko banjir pada musim tengkujuh semakin meningkat buat masa ini berikutan fenomena air pasang besar selama lima hari bermula malam ini.
“Berdasarkan ramalan, paras laut akan meningkat sehingga 3.7 meter sepanjang tempoh air pasang besar terutama pada hari Ahad (lusa) dan Isnin depan.
“Ia membawa risiko banjir di kawasan berhampiran pesisir pantai seluruh negeri ini sekiranya ia berserta dengan hujan lebat dan angin kencang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Hanafiah berkata, berdasarkan ramalan meteorologi juga, baki kira-kira 1,000 mililiter taburan hujan dijangka turun menerusi beberapa episod sepanjang Disember ini.
“Saya minta penduduk yang menetap di kawasan berisiko sepanjang 244 kilometer pesisir pantai negeri ini berjaga-jaga dan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaik diarahkan pihak berkuasa.
"Orang ramai juga tidak digalakkan untuk beriadah di kawasan pantai dan sungai di Terengganu sepanjang tempoh fenomena air pasang besar ini kerana risiko ancaman ombak besar dan kepala air,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment