Translate

Tuesday, December 14, 2021

Polis Terengganu kutip RM6.09 juta bayaran saman trafik

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu merekodkan kutipan kompaun lebih RM6.09 juta daripada pesalah trafik sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, kutipan itu diterima dalam tempoh empat hari pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM).

“Sepanjang tempoh tersebut, seramai 32,129 orang telah mengunjungi kaunter pembayaran saman di cawangan trafik semua ibu pejabat polis (IPD) seluruh negeri ini.

“Setakat pukul 8 malam semalam (kelmarin), sebanyak 371,042 saman trafik telah diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rohaimi berkata, oleh kerana tawaran diskaun saman trafik berkenaan telah dilanjutkan sehingga 31 Disember depan, orang ramai dinasihatkan agar membuat perancangan bagi menyelesaikan kompaun tertunggak berkenaan.

Tambah beliau, individu terbabit juga disaran agar tidak menunggu hingga saat-saat akhir yang dikhuatiri akan menyebabkan kesesakan di kaunter pembayaran saman.

Kosmo! semalam melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tempoh tawaran 80 peratus ke atas pembayaran saman menerusi kaunter cawangan trafik sehingga 31 Disember ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lanjutan tempoh pembayaran itu bagi memberi peluang kepada orang ramai mengambil sedikit masa untuk menjelaskan saman mereka. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment