Translate

Wednesday, December 22, 2021

Henti kegiatan dulang emas tanpa permit

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Pejabat Tanah dan Daerah Setiu bertindak menutup serta-merta kawasan mendulang emas yang meragut nyawa penternak lembu, Mohd. Johari Mohd. Asri, 34, di Kampung Air Sejuk di sini pada semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Air Sejuk, Kamarudin Mad Nor berkata, tindakan itu bertujuan membendung kegiatan mendulang emas secara tidak sah di kawasan terbabit terletak di rizab Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru.

“Orang ramai dilarang memasuki kawasan terbabit untuk mendulang emas tanpa permit.

“Tindakan kompaun maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun boleh diambil kepada individu yang menceroboh kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Air Sejuk di sini hari ini.

Kamarudin berkata, berdasarkan pemantauannya, lokasi kejadian dipercayai baru diteroka untuk kegiatan mencari emas pada beberapa hari lalu.

Jelas beliau, difahamkan tiada mana-mana pihak melakukan kegiatan mencari emas di kawasan terbabit selain keluarga mangsa.

“Sepanjang pengetahuan saya, memang ada kegiatan mendulang emas secara kecil-kecilan di tanah lain milik persendirian.

“Begitupun, emas yang ditemui di kawasan kampung ini dan sekitarnya tidak banyak. Sebaiknya hidari perbuatan tersebut yang bukan sahaja menyalahi undang-undang malah bahayakan keselamatan diri,” katanya.

Sebelum ini, Mohd. Johari yang juga perternak lembu maut ditimbus tanah yang dipercayai dikoreknya untuk melombong emas bersama ibubapanya di kawasan belukar berhampiran sebuah kebun getah. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment