Oleh MOHD AZLI ADLAN
PULAU Bidong yang terletak di perairan Kuala Nerus, Terengganu bukanlah pulau peranginan popular seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian.
Sejarah silamnya sebagai pusat perlindungan orang hanyut Vietnam selama 13 tahun dari Ogos 1978 hingga November 1991 membuatkannya ia agak tertutup berbanding enam pulau peranginan lain di negeri itu.
Sepanjang tempoh itu, seramai 252,390 orang hanyut Vietnam pernah ditempatkan di pulau tersebut sebelum mereka dipindahkan ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jerman dan Australia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, kewujudan monumen mini itu mampu memperkenalkan lagi Pulau Bidong terutama dalam kalangan peminat aktiviti selaman skuba di seluruh dunia.
Katanya, ia akan mendedahkan lebih ramai khalayak tentang keindahan dasar laut yang terdapat di pulau terbabit.
“Dasar laut Pulau Bidong menawarkan kepelbagaian biodiversiti antara terbaik di Terengganu yang sudah pasti memukau hati penggemar aktiviti selam skuba.
“Sehubungan itu, kita bersedia meningkatkan kehadiran pelancong ke Pulau Bidong seiring dengan perkembangan semasa,” katanya.
Begitupun, Ariffin menegaskan dasar pembangunan sektor pelancongan di pulau terbabit yang mesra alam masih kekal.
Jelasnya, pembangunan resort, hotel mahupun restoran masih tidak dibenarkan di Pulau Bidong demi memelihara kelestarian tinggalan warisan orang hanyut Vietnam dan keaslian alam semula jadinya.
“Sebab itu kita hanya membenarkan kunjungan secara lawatan harian. Begitupun, pelancong yang berminat untuk bermalam boleh memilih untuk berkhemah di tapak ditetapkan dan perlu mendapat kebenaran Lembaga Muzium Negeri Terengganu.
“Biarlah sebahagian besar pelancong lain menginap di daratan atau pulau-pulau peranginan lain seperti Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah sebelum menggunakan perkhidmatan bot ke Pulau Bidong,” katanya.
Sehubungan itu, Ariffin berkata, pakej pelancongan ke Puau Bidong akan dipertingkatkan bergantung kepada situasi penularan pandemik Covid-19.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar pula berkata, universiti awam itu bersedia untuk memainkan peranan lebih besar bagi membantu meningkatkan potensi Pulau Bidong.
Beliau berkata, ia sejajar dengan kolaborasi antara UMT dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) bagi memperkasa sektor pelancongan menerusi Pelancongan Pendidikan yang telah terjalin baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment