Translate

Saturday, December 11, 2021

Peniaga ikan siakap tular gagal lengkap dokumen

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Peniaga di Langkawi, Kedah yang tular awal bulan ini kerana menjual hida­ngan ikan siakap lebih RM1,000 bakal didakwa mengikut Seksyen 53(A) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, peniaga terbabit telah gagal mengemukakan dokumen perniagaan lengkap dikehendaki kementeriannya mengikut tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, peniaga terbabit telah memberi kerjasama baik kepada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) namun malangnya gagal memenuhi arahan menghantar dokumen perniagaan lengkap dan terperinci.

“Sebelum ini tempoh penghantaran dokumen terperinci terbabit telah dilanjutkan bagi membolehkan peniaga itu membetulkan kesilapan tersebut.

“Begitupun, ia masih tidak dapat dipenuhi sehingga 17 November lalu. Kertas siasatan telah dibuka dan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di Taman Pengeluaran Makanan Peradong, Manir di sini hari ini.

Kosmo! 4 November lalu melaporkan sekumpulan individu terkejut apabila mereka terpaksa membayar hampir RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat sekitar tujuh kilogram (kg) di salah sebuah restoran dekat Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Rosol berkata, tindakan terbabit dikenakan ekoran kegagalan peniaga itu menyelenggara dan menyimpan rekod dengan wajar.

Jelasnya, peniaga itu akan didakwa Seksyen 53(A) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau kompaun RM25,000 jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment