Translate

Tuesday, December 14, 2021

Polis tumpas taktik edar dadah guna perkhidmatan kurier


 Oleh MOHD AZLI ADLAN


MARANG – Taktik seorang lelaki mengedar dadah menerusi perkhidmatan kurier berjaya dibongkar polis di Kampung Gemuroh, Bukit Payong di sini pada Khamis lalu.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan selepas tiga bungkusan yang mahu dihantarnya menerusi syarikat perkhidmatan kurier sebenarnya mengandungi dadah jenis pil Yaba, syabu dan Erimin 5 bernilai keseluruhan RM23,400.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke premis syarikat penghantaran kurier itu sebaik menerima maklumat berhubung tiga bungkusan mencurigakan tersebut pada pukul 11 pagi, Khamis lalu.

“Pemeriksaan pada bungkusan pertama mendapati ia mengandungi pil Yaba seberat kira-kira 60.43 gram dan syabu (101.61 gram).

“Bungkusan kedua mengandungi Erimin 5 (26.62 gram) dan syabu (25.54 gram) manakala Erimin 5 ( 26.45 gram) dan pil Yaba (19.52 gram) pula dijumpai pada bungkusan ketiga,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, berdasarkan alamat pengirim bungkusan terbabit, sepasukan polis telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Gemuroh yang kemudiannya berjaya menahan suspek.

Tambah beliau, pemeriksaan menjumpai tiga resit syarikat penghantaran kurier terbabit di dalam sebuah beg berwarna hitam yang terdapat pada poket seluar jeans lelaki itu.

“Mykad dan sebuah kereta Honda City berwarna putih milik suspek juga dirampas. Ujian urin mendapati ia positif dadah jenis methamphetamine selain memiliki 14 rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment