Translate

Sunday, December 12, 2021

Pemandu Perodua Axia khayal dadah langgar tujuh kenderaan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara memandu dalam keadaan khayal di bawah pengaruh dadah, seorang lelaki gagal mengawal kereta Perodua Axia dipandunya lalu menyebabkan kemalangan melibatkan tujuh kenderaan lain di Jambatan Kuala Ibai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, ujian urin terhadap lelaki dan rakan lelakinya yang turut berada di dalam kereta Perodua Axia itu sewaktu kemalangan mengesahkan mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Kedua-dua lelaki yang berusia 30-an ditahan polis sebaik berlaku kemalangan di lokasi kejadian pada pukul 6.15 petang.

“Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut dan menjalani ujian urin,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu tular video kedua-dua lelaki terbabit yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk ditahan polis tidak lama selepas menyebabkan kemalangan yang menyebabkan kegemparan dalam kalangan penduduk setempat terbabit.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati salah seorang suspek yang memandu kereta Perodua Axia berwarna merah itu gagal membrek sehingga melanggar kenderaan-kenderaan di hadapannya sewaktu melalui di Jambatan Kuala Ibai.

Jelas beliau, sewaktu kejadian, kesemua tujuh kenderaan terlibat sedang berhenti menunggu lampu isyarat merah di sebuah persimpangan selepas Jambatan Kuala Ibai.

“Kesemua mangsa telah membuat laporan polis masing-masing berhubung kemalangan itu,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment