Translate

Saturday, December 11, 2021

TDM terima anugerah Kemampanan dan CSR Malaysia

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Berhad yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu dinobatkan sebagai Syarikat Terbaik Tahunan bagi anugerah Kemampanan dan CSR Malaysia 2021 semalam.

Ketua Komunikasi Korporat TDM, Norfar’izan Hashim berkata, syarikat peladangan dan penjagaan kesihatan itu menerima anugerah tersebut atas inisiatif yang telah diambil bagi kebajikan haiwan dan membantu memerangi pandemik Covid-19.

“Pengiktirafan ini perakuan kepada sumbangan dan komitmen TDM dalam menerajui pembangunan mampan sebagai syarikat bertanggungjawab dan menghormati hak individu, komuniti dan alam sekitar.

“TDM telah mengambil insiatif ‘Hidup Bersama Gajah’ selain aktif membantu usaha memerangi Covid-19 menerusi sumbangan RM1 juta kepada Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, inisiatif ‘Hidup Bersama Gajah’ adalah pendekatan harmoni yang diambil bagi menangani isu pencerobohan gajah liar di ladang kelapa sawit milik TDM khususnya di Kemaman dan Setiu.

Jelas beliau, antara pendekatan diambil penubuhan bank makanan gajah dengan menanam spesis tumbuhan yang menjadi makanan gajah di kawasan tersebut.

“Bagi inisiatif membantu usaha kerajaan memerangi Covid-19, empat pusat perubatan kendalian TDM di seluruh negara telah memainkan peranan menjadi pusat pemberian vaksin hospital swasta (PPVHS),” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment