Translate

Monday, December 13, 2021

IPD Kuala Terengganu terima tunggakan kompaun RM129,000

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu berjaya mengutip lebih RM129,000 tunggakan kompaun kesalahan trafik dalam tempoh tiga jam pada hari pertama tawaran diskaun sempena program 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia hari ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati hampir 1,000 pesalah melunaskan tunggakan kompaun kesalahan trafik di Cawangan Trafik IPD Kuala Terengganu sepanjang tempoh itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Asisten Superintendan Ismail Man berkata, setakat pukul 1.30 petang, pihaknya menerima sebanyak 2,864 pembayaran tunggakan kompaun kesalahan trafik.

“Kebanyakan kompaun itu melibatkan kesalahan memandu melebihi had dibenarkan yang dikesan kamera perangkap laju dan meletak kenderaan di kawasan tidak dibenarkan.

“Selain itu, ramai juga pengguna menyelesaikan kompaun yang dikeluarkan di sekatan jalan raya (SJR),” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Ismail berkata, berdasarkan rekod, seorang individu telah mengambil peluang tawaran diskaun sehingga 80 peratus itu bagi menyelesaikan 30 kompaun kesalahan trafiknya sekali gus di Cawangan Trafik IPD Terengganu hari ini.

Beliau berkata, walaupun sambutan amat memberangsangkan, kehadiran orang ramai dipantau rapi oleh anggota polis bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal sentiasa terjaga. – K! ONLINE.

No comments:

Post a Comment