Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Program Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai melibatkan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diperluaskan ke empat negeri lagi termasuk Terengganu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan lagi perkhidmatan JKM dan memastikan bantuan diterima dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima demi kelangsungan hidup mereka.
Beliau berkata, sebelum ini program perintis inisiatif tersebut telah dilaksanakan di Perlis, Kedah dan Melaka selama enam bulan bermula Februari lalu.
“Kajian kebolehlaksanaan projek rintis melibatkan 1,066 penerima di tiga negeri itu mendapati program tersebut menerima sokongan penuh.
“Majoriti penerima memaklumkan pembayaran bantuan kewangan tanpa tunai tersebut memudahkan mereka membuat kawalan perbelanjaan bagi menampung keperluan harian,” katanya selepas melancarkan program tersebut peringkat Terengganu di Taman Sinar Harapan di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Mohd. Muazzam Mohamed.
Rina berkata, selain Terengganu, program yang mendapat kerjasama Bank Islam itu turut diperluas ke Kelantan dan Selangor.
Tambah beliau, fasa seterusnya akan melibatkan Sabah dan Labuan pada awal tahun 2022 sebelum diperluas sepenuhnya di negeri-negeri lain iaitu Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sarawak pada tahun 2023.
“Penerima boleh membeli barangan keperluan menerusi pembayaran tanpa tunai di 427 premis perniagaan yang mengambil bahagian di enam negeri terlibat.
“Ia secara tidak langsung melibatkan penerima bantuan JKM dengan aktiviti digital selain memantapkan lagi penyaluran bantuan kewangan agensi itu,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment