Translate

Saturday, May 30, 2026

Wanita ‘mabuk cinta’ rugi RM60,500

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Seorang ibu tunggal yang dikatakan ‘mabuk cinta’ dengan lelaki yang baru dikenalinya melalui TikTok mengalami kerugian lebih RM60,000 selepas menjadi mangsa penipuan love scam.

Lebih menyedihkan apabila sebahagian besar wang tersebut merupakan pinjaman peribadi yang dibuat mangsa. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian bermula selepas pembantu kedai berusia lewat 30-an itu berkenalan dengan seorang lelaki menerusi aplikasi TikTok pada awal bulan lalu.

 “Mereka kemudiannya berhubung menerusi aplikasi Whats App sebelum diminta agar membuat bayaran kononnya untuk tempahan hotel pada 10 April lalu.

 “Mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak RM500 ke dalam akaun e-dompet diberi suspek,” katanya di sini semalam. 

Azli berkata, suspek terus meminta mangsa agar ‘membantu’ membuka akaun bank miliknya yang kononnya telah disekat pada 22 April lalu. 

Beliau berkata, ibu tunggal tersebut kemudiannya menunaikan permintaan tersebut dengan memindahkan sebanyak RM60,000 ke dalam akaun bank diberi suspek. 

“Mangsa akhirnya menyedari telah terperdaya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini pada pukul 10.01 malam, semalam (kelmarin). 

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Sementara itu, seorang peniaga kedai perkakasan turut kerugian RM86,735 akibat diperdaya tender pembekalan jubin lantai serta kerusi dan meja kantin sekolah yang tidak wujud. 

Lelaki berusia 54 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.50 tengah hari kelmarin. 

Azli berkata, kejadian berlaku apabila premis perniagaan peniaga tersebut yang terletak di bandar raya ini telah dikunjungi seorang lelaki mendakwa kononnya seorang guru pada pukul 12 tengah hari, 30 April lalu. 

“Suspek mendakwa mahu menempah jubin lantai kononnya untuk kegunaan sekolah menengahnya yang terletak di Marang. 

“Dia juga mendakwa mahu menempah 45 set meja dan kerusi kantin sekolah yang dianggarkan bernilai RM122,450,” katanya AZLI di sini semalam.

No comments:

Post a Comment