Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Impian seorang bapa untuk melihat anak lelakinya melanjutkan pelajaran ke politeknik tidak kesampaian apabila remaja itu maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Losong Feri berhampiran Kampung Losong Panglima Perang di sini kelmarin.
Kejadian pukul 3.36 petang itu berlaku ketika mangsa, Wah Han Keong, 18, yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membantu bapanya menguruskan perniagaan memasang dan menyelenggara penyaman udara.
Lebih menyedihkan, kepala mangsa turut putus selepas sebatang tiang lampu jalan tumbang akibat rempuhan nahas terbabit.
Bapa mangsa, Wah Tee Tun, 49, berkata, sewaktu kejadian, dia dan anaknya dalam perjalanan ke premis pelanggan di Batu Burok untuk menyelenggara penyaman udara dari rumah mereka di Taman Sri Manir di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, van jenis Nissan Vanette yang saya pandu tidak sempat mengelak lalu merempuh sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI yang telah terbabas dari laluan bertentangan.
“Sebatang tiang lampu yang tumbang dipercayai akibat dirempuh kereta Volkswagen terbabit kemudian rebah mengenai cermin hadapan van kami sebelum mengenai kepala anak saya (Han Keong) yang berada di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tee Tun berkata, hatinya luluh apabila melihat Han Keong yang merupakan anak sulung daripada dua beradik terkorban dalam nahas terbabit.
Dia yang turut cedera ringan pada bahagian tangan berkata, tambah menyedihkan mendiang merupakan satu-satunya anak lelaki harapannya.
“Dia (Han Keong) merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas memperolehi 9A dan telah memohon untuk melanjutkan pelajaran ke politeknik. “Sementara menunggu masuk politeknik, dia ringan tulang membantu saya melakukan kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan penyaman udara,” katanya.
Tee Tun berkata, anaknya yang meminati automotif sejak kecil sebelum ini telah memohon melanjut pelajaran dalam bidang itu sama ada di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun atau Politeknik Kota Bharu, Kelantan.
Walaupun reda dengan kematian Han Keong, beliau tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa anak sulungnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor yang dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut.
“Kejadian berlaku apabila van Nissan Vanette dinaiki dua beranak itu tidak dapat mengelak lalu merempuh sebuah kereta Volkswagen Golf GTI yang dikatakan terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Sebatang tiang lampu yang tumbang dipercayai akibat dirempuh kereta Volkswagen Golf GTI tersebut telah menembus masuk ke dalam cermin hadapan van lalu mengenai kepala mangsa,” katanya.
Mayat Han Keong dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:
Post a Comment