Translate

Tuesday, May 26, 2026

Jelajah BBW Books sedia buku Islamik kanak-kanak

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Pesta Big Bad Wolf (BBW) Books buat julung kalinya dalam jelajahnya di Terengganu selama 10 hari sehingga 9 Mei ini memperkenalkan segmen buku kanak-kanak yang menerapkan nilai murni Islam. 

Pengasas Bersama Big Bad Wolf Books, Andrew Yap berkata, pengedaran buku kanak-kanak dalam bahasa Inggeris itu telah mendapat kerjasama daripada penerbit buku Islamik, SIDR Production.

 “Pengenalan koleksi buku kanak-kanak yang menerapkan nilai murni Islam ini sebagai inisiatif kami untuk memenuhi permintaan peminat BBW Books terutama dalam kalangan penduduk Pantai Timur selama ini. 

“Mereka rata-rata mahukan bahan bacaan yang bukan sahaja membantu meningkatkan pengusaan bahasa Inggeris, malah menerapkan nilai-nilai murni Islam dalam kalangan anakanak mereka,” katanya sewaktu prapelancaran BBW Books di sini baru-baru ini.

 Yap mengakui buku kanak-kanak Islamik dalam bahasa Inggeris sememangnya kurang dalam pasaran tempatan buat masa ini. 

Sehubungan itu, beliau berkata, pengenalan segmen baharu itu diharap dapat menjadi nilai tambah buat penganjuran BBW Books di Terengganu yang sedang berlangsung di kompeks membeli-belah, Mayang Mall bermula dari 10 pagi hingga 10 malam. 

“Selain itu, kita juga menyediakan lebih sejuta naskhah bahan bacaan pelbagai genre yang ditawarkan pada harga menarik. 

“Terengganu adalah lokasi kelima dijejajahi BBW pada tahun ini selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang dan Melaka,” katanya. 

Tambah beliau, BBW Books menyasarkan untuk melengkapkan tujuh kali jelajah pameran buku di destinasi-destinasi lain di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. 

“Harapan kami agar pameran buku yang popular ini akan dapat menyemai minat membaca dalam kalangan rakyat negara ini. 

“Kami juga berharap agar pameran ini membuka ruang kepada mereka mendapatkan buku sebagai koleksi perpustakaan peribadi di rumah masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment