KUALA TERENGGANU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri menjangkakan hampir 7,000 lembu, kerbau, kambing, kambing biri-biri dan unta akan disembelih sebagai ibadah korban sempena Aidiladha hujung bulan ini.
Pengarah Veterinar Terengganu, Dr. Anun Man berkata, jumlah itu meningkat hingga lima peratus berbanding tahun lalu.
“Sebanyak 6,229 ekor haiwan ternakan disembelih sempena Aidiladha tahun lalu. Kita menjangkakan sembelihan bagi ibadah korban tahun ini akan meningkat dua dan lima peratus,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, beliau merasmikan Kempen Kesedaran Awam Pencegahan Penyalit Haiwan Ternakan peringkat Terengganu.
Katanya, individu tempatan yang berhasrat untuk melaksanakan ibadah korban boleh memohon permit penyembelihan di pejabat JPV berhampiran mulai semalam.
Permohonan permit sembelihan luar dikenakan caj RM35 seekor untuk lembu dan kerbau, manakala kambing dan bebiri RM25 seekor yang akan dibuka sehingga 21 Mei ini.
“Upacara sembelihan ibadah korban dibenarkan pada 10 hingga 13 Zulhijjah. Pergerakan haiwan korban pula dibenarkan bermula 24 hingga 30 Mei,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anun berkata, orang ramai turut digalakkan melaksanakan ibadah korban di 10 rumah sembelihan yang terdapat di seluruh Terengganu.

No comments:
Post a Comment