Translate

Sunday, May 24, 2026

Kemudahan Gua Bewah, Denai Pokok Melunak dinaik taraf

HULU TERENGGANU – Kerajaan negeri giat mempertingkatkan infrastruktur di dua lokasi tarikan di Tasik Kenyir iaitu Gua Bewah dan Denai Pokok Melunak demi kemudahan pengunjung. 

Gua Bewah merupakan lokasi penemuan rangka manusia prasejarah, Bewah Girl dianggarkan berusia 16,000 tahun, manakala pokok melunak yang berusia 340 tahun merupakan tumbuhan tertua di Tasik Kenyir. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kerja-kerja menaik taraf kemudahan itu merupakan sebahagian persiapan Tahun Melawat Terengganu 2027. 

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sedang menarik taraf kemudahan tandas, papan tanda dan pintu gerbang di Gua Bewah. 

“Selain itu, kerja-kerja pembaikan pendawaian lampu solar di gua bersejarah itu juga sedang dilaksanakan,” katanya di sini semalam.

 Jelasnya, laluan Denai Pokok Melunak juga akan dinaik taraf untuk keselesaan pendaki trek berbukit tersebut selain sebahagian titi kayu di sepanjang 1.2 kilometer trek berkenaan akan ditukar kepada simen terutama di lokasi-lokasi kritikal.

“Kita ambil maklum aduan pengunjung yang mengatakan trek itu agak licin terutama musim tengkujuh. “Selain mengurangkan risiko dalam kalangan pendaki, langkah penambahbaikan ini juga akan meningkatkan lagi kehadiran pengunjung untuk melihat Melunak gergasi,” katanya. 

Razali berkata, pihaknya dengan kerjasama Ketengah dan Jabatan Perhutanan juga komited untuk terus memelihara kelestarian pokok Melunak dan bilangan papan maklumat juga akan ditambah bagi meningkatkan lagi kesedaran awam tentang kewujudan pokok itu.

No comments:

Post a Comment