Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
KUALA TERENGGANU – Tiga pekerja pelantar minyak maut manakala seorang lagi parah apabila bot penyelamat yang mereka gunakan terjunam dan terhempas di atas permukaan laut dari ketinggian kira-kira 20 meter ketika mahu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan kelmarin.
Kejadian pada pukul 12.50 tengah hari di Platform Sepat berhampiran perairan TerengganuKelantan itu berlaku apabila tali penyangkut yang dipasang pada bot tersebut dipercayai terlucut menyebabkan bot itu terjatuh.
Mereka yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid, 38, manakala Mohd. Taufik Mohd. Ruslan, 37, pula parah apabila beberapa tulang tubuhnya patah.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa berada di dalam bot kecemasan terbabit yang diletakkan di atas binaan Platform Sepat.
“Mereka sepatutnya turun bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di bawah platform sebelum tali penyangkut dikatakan tiba-tiba tercabut.
“Ia menyebabkan kesemua mangsa yang berada di dalam bot kecemasan berkenaan terjunam ke dalam laut,” katanya. Menurut Azli, kesemua mangsa kemudian diterbangkan dengan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus dekat sini pada pukul 4 petang sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dengan ambulans.
Penerbangan itu mengambil masa satu jam.
Tambahnya, tiga mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Pasukan penyiasat telah dihantar ke lokasi kejadian yang terletak 150 kilometer dari perairan Kuala Terengganu. Kes akan diklasifikasikan semula jika ada unsur jenayah,” katanya.
Sementara itu, Nurul Ain Shazwani Ab. Majid, 30, berkata, abangnya, Nik Muhammad Hafifi Asri sempat mengucapkan selamat hari jadi kepadanya pada 18 Mei lalu.
“Saya tak sangka ia komunikasi kami yang terakhir apabila dia menghantar ucapan itu dalam kumpulan WhatsApp keluarga pada pukul 10.31 pagi. Ia menjadi kenangan tidak dilupakan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ di sini.
Menurut Nurul Ain Shazwani, arwah merupakan anak keempat daripada tujuh beradik dan merupakan seorang yang penyayang serta rajin.
“Arwah sentiasa mengambil berat kebajikan adik-beradik meskipun sibuk sejak bekerja offshore (luar pesisir) 10 tahun lalu. Dia kembali bertugas pada 17 Mei lalu dan sepatutnya pulang ke darat pada 1 Jun depan,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Ain Shazwani berkata, arwah bercadang untuk mengusahakan inap desa di rumahnya yang dibeli di Kota Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.
Jenazah Nik Muhammad Hafifi Asri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan.
Dalam pada itu, isteri Muhammad Faezuan Hakim, Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, yang sedang sarat hamil berkata, Allahyarham tidak sabar mahu pulang pada 1 Jun ini dan mengumpul cuti untuk bertemu serta menemaninya sehingga dia bersalin.
“Kami berbual menerusi panggilan video pada pukul 10 malam semalam (kelmarin) dan WhatsApp pada pukul 7 pagi hari kejadian. Luluh hati saya apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh wakil syarikat pada pukul 4 petang,” katanya.
Dia yang menetap di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang berkata, suaminya sudah bekerja dalam bidang pesisir pantai sejak 2019, namun baru menyertai syarikat tersebut pada Mac lalu.
Ahmad Syafiq Zakaria, 40, pula berkata, adiknya, Ahmad Fiqri sempat bercuti sakan untuk bersama keluarga sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini sebelum kembali bekerja pada 17 Mei lalu.
“Arwah baru setahun bekerja offshore. Kami sempat beraya bersama-sama kerana dia cuti sebulan dan dia menetap di rumah mentua di Kampung Padang Sebang, Alor Gajah, Melaka,” katanya.
Menurut Ahmad Syafiq, adiknya seorang pendiam, namun bertanggungjawab terutama kepada isteri, Siti Aisyah Ahmad, 38, dan anak tunggal lelaki mereka berusia 10 tahun.
Jenazah Ahmad Fiqri dikebumikan di Kampung Padang Sebang.

No comments:
Post a Comment