Oleh MOHD AZLI ADLAN
BESUT – Seorang bekas jurutera teknologi maklumat (IT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki kad pengenalan (MyKad) palsu.
Tertuduh, Aman Rasid, 39, turut membuat pengakuan sama atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine bersama rakannya, Mohd. Aiman Musa, 35.
Dua penganggur itu membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurliyana Md. Zukri.
Mengikut pertuduhan pertama, Aman didakwa memiliki 12 keping MyKad palsu mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959. Lelaki itu turut didakwa bersama Mohd. Aiman bagi kesalahan memiliki methamphetamine seberat 7.11 gram.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan sebatan lima dan sembilan kali jika sabit kesalahan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Alor Lintang di sini pada pukul 10.05 malam, 23 April lalu.
Kosmo! semalam melaporkan serbuan dadah di sebuah rumah di Kampung Raja minggu lalu membongkar kegiatan pemalsuan MyKad bagi permohonan pinjaman peribadi menggunakan butiran peribadi palsu berjumlah RM40,000. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment