Translate

Friday, May 29, 2026

Isyarat angkat tangan kumpul diesel

SETIU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya mematahkan kegiatan mengumpul petrol dan diesel secara haram menerusi pembelian menggunakan permit palsu di Merang di sini semalam. 

Serbuan dilakukan pasukan penguat kuasa KPDN di stesen minyak tersebut berjaya merampas kira-kira 500 liter petrol bersama sebuah lori dan dua tong drum bernilai RM46,800. 

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, siasatan awal mendapati aktiviti haram tersebut didalangi seorang lelaki berusia 30-an. 

“Risikan selama dua minggu percaya petrol dan diesel yang dibeli menggunakan permit palsu berkenaan akan dijual semula kepada pihak industri.

 “Pemeriksaan telah menemui lapan permit palsu membeli petrol,” katanya. Mohd. Mufsi berkata, pemilik dan pekerja stesen minyak disyaki terlibat turut bersekongkol dalam aktiviti haram terbabit. 

Beliau berkata, suspek hanya perlu mengangkat sebelah tangannya sebagai isyarat tanpa perlu ke kaunter pembayaran stesen minyak terbabit.

 “Suspek disyaki melakukan pembelian berulang antara tiga dan empat kali di stesen minyak berkenaan. “Dia juga dipercayai mengisi petrol dan diesel ke dalam tong dram,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui jenayah sama yang dilakukan di lokasi masing-masing.

No comments:

Post a Comment