KUALA TERENGGANU – Waris tiga pekerja pelantar minyak yang maut dalam insiden di Platform Sepat Ahad lalu layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Faedah sama turut dinikmati seorang lagi mangsa yang cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, semakan mendapati empat mangsa itu merupakan pencarum aktif.
“Balu dan anak tunggal arwah Ahmad Fiqri Zakaria layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM 5,355 setiap bulan.
“Balu arwah akan menerima FOT sepanjang hayat, manakala anaknya sehinggga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan tiga pekerja maut, manakala seorang parah selepas tali pemegang bot keselamatan yang dinaiki mereka tercabut dari Platform Sepat lalu terjunam ke dalam laut dari ketinggian 20 meter di perairan TerengganuKelantan dekat sini.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, balu dan anak-anak arwah Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam pula layak menerima FOT berjumlah RM3,105 sebulan.
Kedua-dua waris Ahmad Fiqri dan Muhammad Faezuan Hakim juga masing-masing bakal menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM3,000.
“Waris Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid layak menerima FPM RM3,000 kerana arwah masih bujang dan ibu bapanya sudah meninggal dunia. Tujuh adik-beradik melepasi umur kelayakan.
Muhammad Taufik Mohd. Ruslan yang cedera layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara sepanjang tempoh rawatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment