Translate

Saturday, May 30, 2026

Pakej korban ansuran, lebih murah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Peserta projek ternakan lembu fidlot Kampung Seri Kenangan di sini menerusi Sejahtera Komuniti (Sejati) Madani mengambil inisiatif menawarkan pakej korban secara ansuran dan lebih murah bagi membantu penduduk menyertai ibadah itu sempena Aidiladha mula disambut pada hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Seri Kenangan, Mohamad Saad berkata, mereka menawarkan kadar sebahagian lembu cuma RM600 berban­ding mencecah RM900 di tempat-tempat lain.

 “Kami memahami ramai berhasrat mahu menyertai ibadah korban tetapi kurang berkemampuan ekoran harga a lembu yang semakin meningkat pada tahun ini. 

“Sehubungan itu, kadar sebahagian lembu ditetapkan cuma RM600 mengikut kemampuan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Seri Kenangan di sini semalam.

 Mohamad berkata, pakej ansuran juga ditawarkan bagi memudahkan penduduk kampung menyertai ibadah korban pada tahun ini. 

Beliau berkata, pembayaran ansuran itu dilakukan secara bertahap dan telah diselesaikan semua peserta menjelang sambutan Aidiladha hari ini. 

“Alhamdulillah kita berjaya mengumpulkan 28 peserta dalam kalangan penduduk kampung. “Ia melibatkan empat ekor lembu baka brahman yang bersaiz besar,” katanya. 

Sementara itu, seorang peserta, Che Wan Mazuan Che Wan Mohamad, 38, menyambut baik inisiatif diambil peserta projek Sejati Madani terbabit. 

Dia berkata, ia menetapi matlamat projek kelolaan kerajaan tersebut yang mahu manfaatnya terus dinikmati penduduk setempat. 

“Bukan sahaja memudahkan penduduk kampung turut menyertai ibadah korban malah daging lembu dapat diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan setempat,” katanya.

No comments:

Post a Comment