Translate

Saturday, May 9, 2026

Liga Super: Terengganu FC ‘diberkas’ Imigresen di laman sendiri

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) dimalukan Imigresen FC apabila tumpas 1-3 di hadapan penyokong sendiri dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Kekalahan kedua berturut-turut tersebut menyaksikan kedudukan skuad Sang Penyu di tempat kelima kini mula goyah hanya dibezakan dua mata dengan Imigresen FC yang berada di tangga keenam.

Tuan rumah pada mulanya mendahului 1-0 menerusi jaringan kapten pasukan, Raianderson da Costa Morais pada minit keenam.

Keceriaan TFC tidak kekal lama apabila pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil kesilapan pertahanan import, Diego Luiz Landis yang tertampan bola masuk ke gawang sendiri pada minit ke-18.

Skuad Sang Penyu berpeluang kembali mendahulu menerusi serangan balas namun percubaan penyerang import, Yann Mabella pada minit ke-25 tidak menemui sasaran.

Imigresen FC kemudiannya memperolehi tendangan penalti yang disempurnakan penyerang import, Eduardo Jose Vegas pada minit ke-32.

Vegas terus garang meledak gol kedua peribadi dan ketiga buat pasukan pelawat pada minit ke-48. – KOSMO! ONLINE


No comments:

Post a Comment