Translate

Sunday, May 31, 2026

Penagih dadah dalang palsu MyKad

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Serbuan dadah di sebuah rumah di Kampung Raja, Besut dekat sini, minggu lalu membongkar kegiatan pemalsuan MyKad bagi permohonan pinjaman peribadi melibatkan kerugian kira-kira RM40,000. 

Dalam serbuan pukul 10.05 malam itu, dua lelaki positif dadah berusia 35 dan 39 tahun berjaya ditahan dengan salah seorang suspek merupakan pakar teknologi maklumat (IT) yang disyaki dalang aktiviti penipuan yang beroperasi sejak setahun lalu. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi membawa kepada penemuan pelbagai peralatan komputer yang digunakan untuk mencetak dokumen pengenalan diri palsu bagi tujuan penipuan kewangan. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 39 tahun itu mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang IT dan pernah bekerja dengan sebuah syarikat kejuruteraan.

 “Siasatan awal mendapati, dua suspek itu memanipulasi aplikasi dalam talian untuk mencuri salinan MyKad mangsa sebelum menghasilkan ia sebagai dokumen palsu.

 “Modus operandi mereka menggunakan nama dan nombor MyKad milik individu sebenar tetapi gambar pada kad pengenalan itu telah diubah serta tidak sepadan dengan rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya pada sidang akhbar di sini semalam. 

Katanya, serbuan di rumah turut menemui dua peket berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 7.11 gram. 

Mohd. Khairi memberitahu, MyKad palsu tersebut kemudiannya digunakan untuk membuka akaun bank seterusnya dijadikan sebagai dokumen permohonan pinjaman peribadi secara dalam talian kepada institusi perbankan dan e-wallet. 

Beliau berkata, siasatan awal percaya kedua-dua suspek telah melakukan aktiviti jenayah penipuan tersebut sejak kira-kira 18 bulan lalu. 

“Sepanjang tempoh itu, sekurang-kurangnya 12 permohonan pinjaman peribadi secara dalam talian menggunakan MyKad palsu terbabit telah diluluskan pihak bank dan pengendali e-wallet melibatkan kerugian kira-kira RM40,000,” katanya. 

Mohd. Khairi berkata, hasil siasatan mendapati mangsamangsa yang berasal dari seluruh negara tidak mengetahui butiran peribadi mereka telah disalah guna untuk membuka akaun bank dan memohon pinjaman peribadi. 

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 468 akta sama, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Pendaftaran Negara 1959. 

“Mereka yang telah ditahan reman sejak Jumaat lalu akan dituduh di Mahkamah Seksyen Besut esok (hari ini),” katanya

No comments:

Post a Comment