Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
KUALA TERENGGANU – Kegilaan kanak-kanak dan remaja membeli serta mengumpul ‘blind box’ atau kotak misteri menyebabkan segelintir ibu bapa pening kepala kerana ia bukan sahaja membazir, malah menyebabkan poket mereka ‘bocor’.
Terdapat golongan itu yang sanggup membelanjakan wang setiap bulan untuk membeli ‘blind box’ mengandungi figura animasi misteri mengikut jenama tertentu dengan harga edisi terhad yang boleh mencecah ratusan ringgit.
Seorang ibu, Roslina Alias, 36, berkata, anak perempuannya yang berusia sembilan tahun terpengaruh dengan trend kotak misteri itu selepas menonton video di media sosial.
Katanya, blind box boleh dibeli secara dalam talian dan kedai fizikal, malah premis menjual barangan itu kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan termasuk di bandar raya ini.
“Anak saya sanggup ikat perut di sekolah semata-mata mahu mengumpul wang untuk membeli blind box. Biasanya kalau simpanan tidak mencukupi, dia minta saya menambah bakinya untuk membeli permainan tersebut,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Roslina berkata, dia bimbang anaknya obses dengan trend kotak misteri tersebut apabila membeli barangan itu hampir setiap minggu, malah pernah merajuk apabila permintaan untuk membeli blind box berharga RM80 tidak dilayan.
Sementara itu, seorang bapa, Mohd. Ismail Alang Ibrahim, 45, mengakui pening kepala apabila anak perempuan tunggalnya yang berusia lapan tahun kerap mengajak ke kedai untuk membeli blind box hampir setiap minggu.
“Biasanya blind box dibeli di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Terengganu yang terletak hampir 30 kilometer dari rumah di Marang. Kadang-kadang dia (anak) pesan jika saya mempunyai tugasan luar daerah atau ke ibu negara,” katanya.
Lelaki itu berkata, anaknya berkongsi turut minat mengumpul blind box bersama rakan-rakan sekolah dan mereka kerap bertukar figura yang terdapat di dalamnya.
Katanya, lebih membimbangkan, kanak-kanak tersebut bercadang untuk menggunakan duit raya yang diterima bagi menambah koleksi blind box.

No comments:
Post a Comment