Translate

Sunday, May 31, 2026

‘Kalau Han Keong masih hidup, dia pasti seronok ke PSMZA

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Wah Han Keong yang maut dalam nahas ngeri sehingga putus kepala pada Selasa lalu menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun. 

Bapanya, Wah Tee Tun, 49, berkata, tambah menyedihkannya apabila mendiang ditawarkan untuk mengikuti Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) yang dipohon sebelum ini. 

“Semalam (kelmarin) saya kuatkan hati untuk menyemak permohonannya (Han Keong) menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) Online. 

“Anak saya ditawarkan jurusan automotif yang dipohon. Kalau masih hidup, pasti dia paling gembira kerana bidang itu yang diminati sejak kecil,” katanya di sini semalam.

Tee Tun berkata, hatinya berbelah bahagi antara bangga dan terkilan kerana anak lelaki tunggalnya itu meninggal dunia tiga hari selepas tawaran melanjutkan pelajaran itu diterima. 

Katanya, hanya tuhan yang mengerti hancurnya perasaannya apabila hajat anak harapannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang diminati tidak kesampaian ekoran kemalangan didakwa berpunca daripada kesilapan pihak lain berkenaan. 

Dalam pada itu, Tee Tun berkata, ritual keagamaan buat abu mayat anaknya, Han Keong selesai dilaksanakan di Wat Kampung Tanggol, Marang, kelmarin. 

“Terdahulu upacara pembakaran mayat dilakukan di Tokong Buddha Ariyakiri, Bachok, Kelantan pada kelmarin (Khamis),” katanya. 

Kosmo! Khamis lalu melaporkan Han Keong, 18, yang memperolehi 9A dalam peperiksaan SPM maut dalam kemalangan di Jalan Losong Feri berhampiran Kampung Losong Panglima Perang, di sini pada pukul 3.36 petang, Selasa lalu. 

Sewaktu kejadian, mangsa yang duduk di tempat duduk hadapan van dipandu bapanya dalam perjalanan untuk melakukan kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan penyaman udara di Batu Burok di sini.

 Sebaik tiba di lokasi kejadian, van dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Volkswagen Golf GTI yang terbabas dari laluan bertentangan. 

Tiang lampu jalan yang tumbang dirempuh kereta Volkswagen Golf GTI kemudiannya rebah memecahkan cermin hadapan van mereka sebelum mengenai kepala Han Keong. 

Sementara itu, Tee Tun berkata, pihak keluarga sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang dan mendapatkan nasihat pihak berkaitan. 

“Buat masa ini kami masih bersedih, tetapi kami akan melantik peguam. Kami sedang mencari individu yang sesuai untuk memberi nasihat,” katanya.

No comments:

Post a Comment