Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Dua remaja perempuan berusia 12 tahun menyifatkan mereka berhutang nyawa dengan dua beradik yang sanggup berkorban menyelamatkan daripada lemas di Sungai Nerus berhampiran Kampung Jeram Manir di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 3 petang itu meragut nyawa Nur Shahila Shahirah Azman, 12, dan kakaknya, Nur Afiqah Shahirah Mohd. Shawalluddin, 15, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam.
Cerita Nurul Ain Fatihah Mohd. Zamri, 12, sebelum kejadian, mereka bertiga bersama seorang lagi rakannya, Noor Shaqira Abdul Fatah, 12, , telah ke lokasi kejadian untuk beriadah dan mandi sungai pada pukul 2.30 petang.
“Waktu itu air surut, kami bermain dan mandi di kawasan berdekatan di batuan yang merintangi sungai. Namun, kira-kira setengah jam kemudian, tiba-tiba air pasang menyebabkan Shaqira yang sedang mandi dihanyutkan arus deras,” katanya kepada Kosmo! di Kampung Jeram Manir di sini semalam.
Nurul Ain berkata, pada mulanya, dia cuba menyelamatkan Shaqira, namun turut dihanyut kan arus deras menyebabkan Shahila dan kakaknya, Afiqah bertindak nekad menyelamatkan mereka.
“Saya dibantu dengan ditolak ke tebing sungai sehingga dapat berpaut pada rimbunan buluh yang terdapat di kawasan tersebut. Shaqira pula terapung di tengah-tengah sungai, manakala Shahila dan kakaknya, Afiqah pula yang lemas,” katanya.
Nurul Ain berkata, dia dan Shaqira sudah kehabisan tenaga serta tidak mampu berbuat apaapa sehinggalah mereka dibantu dua penduduk kampung yang kebetulan melalui lokasi kejadian tidak lama kemudian.
Katanya, dia sedih kehilangan Shahila dan kakaknya, Afiqah, serta berasa berhutang nyawa dengan kedua-dua beradik yang maut akibat lemas demi menyelamatkan dirinya dan Shaqira.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, mayat Shahila dan Afiqah ditemui berdekatan di dalam dasar sungai sedalam kira-kira enam meter pada pukul 6 petang kelmarin.
Sementara itu, nenek dua beradik berkenaan, Esah Salleh, 76, berkata, ibu cucunya itu, Suria Sulung, 34, yang juga OKU lembam masih dalam keadaan terpinga-pinga dan dilihat kurang mengerti hakikat keduadua anaknya sudah meninggal dunia.
“Suria merupakan ibu tunggal dan kedua-dua cucu perempuan saya yang berlainan bapa menetap dengan saya tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Tak sangka kedua-dua cucu saya mandi sungai kerana sebelum keluar rumah, mereka beritahu cuma mahu ke rumah kawan (Ain dan Shaqira),” katanya.
Dia turut memberitahu jenazah Shahila dan Afiqah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram di sini semalam.

No comments:
Post a Comment