Oleh MOHD. AZLI ADLAN
TERENGGANU FC (TFC) terus ditimpa badi keciciran mata dalam empat perlawanan berturut-turut selepas ditumpaskan 1-3 Imigresen FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin.
Pengendali interim TFC, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, tambah parah, aksi tersebut juga menyaksikan gawang skuad kendaliannya bolos menerusi sepakan penalti dalam t i g a perlawanan berturut-turut.
“Gol kedua Imigresen (menerusi sepakan penalti) jelas memusnahkan kami dengan motivasi pemain-pemain saya mula dilihat luntur. Kita sekali lagi hilang fokus biarpun sebenarnya mendahului dengan jaringan awal,” katanya.
Imigresen mencipta kejutan menewaskan TFC 3-1 di hadapan penyokong lawan menerusi jaringan sendiri Diego Luiz Landis pada minit ke-18 dan ledakana dua gol penyerang import, Eduardo Jose Vegas pada minit ke-32 dan 48.
Tuan rumah pula hanya memperolehi gol sagu hati menerusi jaringan kapten pasukan, Careca pada minit keenam.
Tengku Hazman berkata, ketiadaan pemain import, Ehson Panjshanbe akibat penggantungan jelas merencatkan jentera tengah TFC pada perlawanan tersebut terutama pada babak pertama.
Menurutnya, beliau terpaksa memasukkan Akhyar Rashid yang baru pulih daripada kecederaan pada separuh masa kedua bagi ‘menghidupkan’ semula jentera tengah skuad Sang Penyu.
Kekalahan itu menyebabkan TFC yang berada di tangga kelima cuma dibezakan dua mata dengan Imigresen dengan berbaki satu perlawanan.

No comments:
Post a Comment