Oleh MOHD AZLI ADLAN
DUNGUN – Perbuatan seorang pekerja syarikat penyelenggaraan yang disyaki menjual minyak petroleum mentah yang disedut secara haram dari loji penapisan terbongkar selepas premis penyimpanan bahan bakar tersebut diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara di Taman Perindustrian Paka di sini kelmarin semalam.
Serbuan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu pada pukul 12.30 tengah hari tersebut berjaya menemukan 86,000 liter minyak petroleum mentah yang dipercayai dicuri lelaki berusia 45 tahun tersebut.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, siasatan awal mendapati minyak petroleum mentah tersebut dijual semula kepada pembeli industri pada harga antara 70 sen hingga RM1 seliter.
Beliau berkata, suspek merupakan pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan yang dilantik menyelenggara terminal minyak milik sebuah syarikat minyak dan gas di Paka di sini.
“Hasil soal siasat awal suspek mengaku menyedut sisa minyak petroleum mentah setiap kali ditugaskan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di terminal penapisan tersebut sejak awal tahun lalu.
“Minyak petroleum mentah itu bercampur air yang disedut dari longkang terminal penapisan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Radzi berkata, minyak petroleum mentah tersebut kemudiannya akan dipisahkan daripada air mengguna mesin sebelum dibawa ke premis sewaan di Taman Perindustri Paka.
Beliau berkata, serbuan berjaya merampas empat tangki berisi 20,000 liter minyak petroleum mentah, tujuh tong berisi 6,000 liter bahan bakar sama, pam minyak dan hos bernilai keseluruhan RM225,000. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment