Translate

Friday, May 29, 2026

Kulat gelam jadi buruan penduduk

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

SETIU – Penduduk Kampung Bukit Kemudu di sini tidak melepaskan peluang untuk mengutip kulat gelam yang banyak tumbuh berhampiran pokok gelam di kawasan hutan dan paya di sekitar perkampungan itu sejak seminggu lalu. 

Seorang penduduk, Nur Saniah Ismail, 27, berkata, kulat gelam itu banyak tumbuh selepas hujan sejak beberapa hari lalu. 

Katanya, dia bersama ahli keluarga berjaya mengutip lebih 50 kilogram (kg) kulat gelam setakat ini.

 “Kulat gelam yang dikutip perlu dibersihkan dan direbus sekurang-kurangnya selama sejam bagi menghilangkan rasa pahit,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Kemudu di sini semalam.

 Menurutnya, kulat gelam yang siap direbus pula perlu disimpan di dalam rendaman air bagi memastikan ketahanannya. 

“Kalau simpan di dalam peti sejuk, kulat gelam tersebut boleh bertahan sehingga setahun. 

“Biasanya, kulat gelam dijadikan antara ramuan dalam sajian masak lemak cili api, kerabu atau air asam,” katanya. 

Nur Saniah berkata, selain makan sendiri, dia dan beberapa penduduk lain juga menjual kulat gelam itu bagi memenuhi permintaan ramai. 

Katanya, dia menjual kulat gelam pada harga RM5 bagi 500 gram dan permintaan setakat ini amat memberangsangkan. 

“Sebahagian pembeli dalam kalangan generasi muda yang baru pertama kali mahu merasai rasanya atau membeli kulat gelam untuk ibu bapa atau datuk nenek mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment