KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam kerugian RM99,276.64 akibat diperdaya dua skim pelaburan tidak wujud dalam tempoh 10 hari.
Selain simpanan peribadi, wanita berusia 38 tahun tersebut sanggup menggadai barangan kemasnya bagi dijadikan modal pelaburan palsu terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, penjawat awam itu tertarik dengan iklan skim pelaburan yang dilihatnya menerusi aplikasi Telegram pada pukul 2 petang, 1 Mei lalu.
“Mangsa yang ‘terpersona’ dengan jaminan kononnya keuntungan lumayan boleh diperolehi dalam tempoh enam jam selepas pelaburan dibuat telah menyertai pakej permulaan bernilai RM1,000.
“Dia kemudiannya mengikut arahan suspek membuat pembayaran tambahan berjumlah keseluruhan RM48,965 kononnya bagi pengeluaran keuntungan,” katanya di sini semalam.
Azli berkata, semua 12 transaksi bagi skim pelaburan pertama terbabit dimasukkan ke dalam empat akaun diberi suspek antara dalam tempoh seminggu sehingga 7 Mei lalu.
Beliau berkata, biarpun masih belum menerima keuntungan dijanjikan, wanita terbabit menyertai satu lagi skim pelaburan lain yang juga diiklankan menerusi aplikasi Telegram pada 11 Mei lalu.
“Mangsa yang tertarik dengan janji kononnya keuntungan boleh diperoleh dalam tempoh 30 minit telah membuat pelaburan keseluruhan RM50,311.64 antara Isnin hingga kelmarin (Rabu lalu).
“Begitupun, dia mula curiga dan menyedari dirinya sudah tertipu buat kali kedua apabila membuat pembayaran baharu berjumlah RM38,527,” katanya.
Azli berkata, wanita itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu di sini pada pukul 2.50 petang kelmarin. Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment