Translate

Thursday, May 14, 2026

Tauke lombong pasang CCTV lindungi PATI

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KEMAMAN- Pengusaha lombong bijih besi haram yang beroperasi di Ketengah Jaya di sini disyaki memasang televisyen litar tertutup (CCTV) semata-mata melindungi pekerja mereka yang terdiri dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI). 

Pemasangan CCTV berhampiram kawasan perlombongan dan rumah kongsi dipercayai bagi mengesan kehadiran penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) yang menyasar PATI yang bekerja di lombong mereka. 

Pengarah JIM Terengganu, Mohd. Yusri Mohd. Nor berkata. risikan mendapati rumah kongsi PATI terbabit dibina secara berselerak di dalam kawasan hutan berhampiran lombong bijih besi.

"Risikan kami sebelum in mengesan sekurang-kurangnya lima lombong bijih besi beroperasi secara haram di dalam ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Seri Bandi, Hulu Chukai, di sini.

 "Begitupun serbuan pada minggu lalu mendapati kawasan penempatan dan perlombongan itu telah dikosongkan seolah-olah mereka sudah menghidu awal ke hadiran pasukan penguat kuasa JIM," katanya di sini semalam. 

Katanya, serbuan ke kawasan perlombongan tersebut agak mencabar kerana ia hanya boleh dilalui kenderaan pikaр.

 Beliau berkata, selain laluan berbukit yang memerlukan pemanduan kira-kira 30 minit dari jalan utama, pasukan penguat kuasa JIM terlibat juga perlu melepasi pondok pengawal yang bukan sahaja dilengkapi CCTV malah palang besi berkunci. 

"Kami terpaksa memotong mangga pada palang besi. Sebaik tiba di kawasan perlombongan dan rumah kongsi pukul 3 pagi, hanya terdapat 10 lelaki asing kebanyakannya warga Bangladesh disyaki PATI yang tidak sempat melarikan diri kerana sudah tertidur," katanya. 

Mohd. Yusri percaya lebih ramai pekerja lombong haram terbabit dalam kalangan PATI sempat melarikan diri setelah mendapat maklumat kehadiran penguat kuasa JIM menerusi rakaman CCTV yang dipasang.

No comments:

Post a Comment