Translate

Friday, May 29, 2026

KPDN berjaya sita RM23 juta barangan kawalan diseleweng

 

MARANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup berjaya mematahkan 556 aktiviti percubaan menyeleweng barangan kawalan dalam tempoh kurang dua bulan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 sejak 16 Mac lalu. 

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, nilai rampasan barangan kawalan sepanjang pelaksanaan operasi tersebut sehingga kelmarin sudah melebihi RM23.17 juta. 

Beliau berkata, tiga barangan kawalan utama yang paling banyak dikesan cuba diseleweng dalam Ops Tiris 4.0 ialah diesel dan petrol dan minyak masak. 

“Lebih 66 peratus kes (penyelewengan) dilaporkan melibatkan diesel (249 kes) dan petrol (119 kes). “Kebanyakan kes tersebut dilaporkan di negeri-negeri terletak bersempadan dengan negara jiran seperti Sarawak, Sabah, Kelantan, Johor dan Kedah,” katanya di Wakaf Tapai di sini semalam. 

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke54 peringkat Terengganu. Azman berkata, setakat ini, Ops Tiris 4.0 mendapati, kebanyakan kes penyelewengan diesel dilaporkan di Sarawak, Sabah dan Johor. 

Beliau berkata, aktiviti penyelewengan petrol pula banyak dikesan di Kelantan dan Sabah. 

“Aktiviti penyelewengan LPG (gas petroleum cecair) pula banyak berjaya dipatahkan di Sabah dan Kedah. “Operasi tersebut banyak dibantu agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti polis, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Maritim Malaysia (APMM),” katanya. 

Azman berkata, sebanyak 43.53 peratus daripada 556 kes penyelewengan barangan kawalan yang berjaya dipatahkan sejak pelaksanaan Ops Tiris 4.0 tersebut disumbang oleh PGA, PPM dan polis,” ujarnya

No comments:

Post a Comment