KUALA NERUS – Seorang pembantu jualan maut, manakala rakan sekerjanya cedera selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang berhampiran Sekolah Sukan Malaysia Terengganu di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu meragut nyawa mangsa, Muhammad Hasbi Muqri Mohd. Amran, 21. Pemuda itu meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Rakannya, Ahmad Amin Ahmad Shafie, 18, yang juga penunggang motosikal mengalami kecederaan patah tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke gerai jualan mereka dalam kampus Universiti Malaysia Terengganu di sini.
“Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat, motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggang mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas. Motosikal itu tercampak ke tepi jalan berhampiran Sekolah Sukan Malaysia Terengganu,” katanya.
Mayat Muhammad Hasbi dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Ahmad Amin yang parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment