Oleh MOHD AZLI ADLAN
CUACA panas berlarutan yang melanda Terengganu sejak awal Mac lalu telah mencetuskan kira-kira 1,420 kes kebakaran terbuka di seluruh negeri ini.
Lebih 88.7 peratus kebakaran terbuka yang direkodkan adalah melibatkan kemusnahan hutan dan belukar yang mencecah puluhan hektar.
Antara kebakaran hutan berskala besar di Terengganu pada musim panas kali ini berlaku di Kuala Abang, Rhu Batil dan Bukit Bauk, Dungun serta Bandar Baru Kuala Nerus.
Selain kerugian kemusnahan alam sekitar yang mengecilkan keluasan hutan Terengganu, kebakaran terbuka tersebut juga menjejaskan kualiti udara di negeri ini.
Sebahagian kawasan negeri ini terutama yang kerap berlaku kebakaran turut terjejas dengan jerebu.
Berdasarkan rungutan penduduk setempat, jerebu sering melanda pada waktu malam sebelum beransuransur hilang pada pukul 10 pagi.
Pakar kimia atmosfera dan analisis statistik alam sekitar, Prof. Madya Dr. Azman Azid berkata, fenomena jerebu berlaku oleh gabungan pembakaran terbuka dan cuaca panas yang melanda Terengganu pada masa ini.
“Pembezaan julat suhu yang ketara pada waktu siang dan malam telah menghasilkan jerebu tebal.
“Ia disebabkan udara sejuk pada waktu malam telah menghalang asap yang terbentuk akibat kebakaran hutan dan belukar naik ke atas sekali gus terperangkap di permukaan bumi,” katanya.
Azman berkata, pengumpulan asap tebal terbabit mencetuskan jerebu itu biasanya yang akan pulih setelah matahari pagi terbit.
Pengarah Kampus Besut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tersebut berkata, peningkatan suhu harian akan menyebabkan pergerakan udara lebih aktif sekaligus menyebarkan asap dan partikel halus punca jerebu terbabit ke ruang atmosfera lebih tinggi.
“Pendedahan berulang pada jerebu boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan terutama golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik.
“Ia boleh menyebabkan risiko penyakit berkaitan paru-paru seperti batuk berpanjangan dan keradangan saluran pernafasan,” katanya.
Sementara itu, Dr .Tium Wei Nie dari Klinik Medina mengakui kes gangguan kesihatan akibat cuaca panas dan jerebu meningkat kira-kira 24 peratus sejak akhir-akhir ini.
“Ramai pesakit mengadu batuk, selesema dan demam sewaktu mendapatkan rawatan di klinik. “Bilangan pesakit asma yang memerlukan rawatan nebuliser juga meningkat selain individu mengalami dehidrasi akibat kurang minum air pada cuaca panas,” katanya.
Sehubungan itu, Wei Nie menasihatkan penduduk di kawasan terjejas agar memakai pelitup muka terutama sebelum pukul 10 pagi bagi mengurangkan pendedahan terhadap udara tercemar.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Nor Mahathir Muhamad mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka.
“Cuaca panas sekarang memudahkan api kebakaran merebak dengan lebih cepat dan sukar dikawal.
“Kita tidak teragak-agak menguatkuasakan Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000, atau penjara sehingga lima tahun atau keduaduanya sekali terhadap pihak yang masih berdegil,” katanya.

No comments:
Post a Comment